Dibuang Ibu bapa Kandung Ketika Dilahirkan Kerana Wajah Hodoh, Kini Beliau Menyumbang Kepada Masyarakat

Dalam kehidupan kita, lebih-lebih era moden ini, materealisma dan penampilan meresap ke dalam diri, sejak kecil ke peringkat remaja sehinggalah kita dewasa. Ketika kita masih kecil, kita menghakimi masing-masing siapa lebih cool dengan apa yang kita ada, dan ia kemudiannya dibawa ke peringkat remaja dan semakin menjadi-jadi.
Pakaian apa anda pakai? Telefon apa anda pakai, iPhone atau Samsung? Kereta apa ibu dan ayah anda belikan? Kita dinilai dan menilai serta diletakkan di dalam hierarki sosial tanpa disedari. Dan apabila dewasa, ia masih ada di dalam diri walaupun semakin kurang kejelasannya.
Jika kita dilahirkan sebagai individu normal, dan itu pun membuatkan kita bergelut untuk bergaul dengan masyarakat, bayangkan apa yang dialami oleh Jono Lancester, yang dilahirkan dengan keadaan yang berbeza.
Dilahirkan tidak normal
Pada tahun 1984, Jono Lancester dilahirkan dan mengalami sindrom Treacher Collins, di mana wajah beliau tidak mempunyai tulang muka, dan separuh daripada pesakit ini hilang deria pendengaran. Keadaan ini membuatkan mata Jono jatuh sedikit ke bawah daripada individu normal.
Masalah ini dikatakan berlaku kepada 1 daripada 10,000 bayi di United Kingdom. Kebanyakan kes adalah dominan autosomal, dengan mutasi dalam genetik TCOF1.
Dibuang ibu bapa sendiri
Ibu bapa Jono yang tidak tahu akan keadaan ini sangat terkejut melihat wajahnya itu. Mereka tidak dapat menerima kenyataan dan tidak mahu menerimanya. 36 jam selepas Jono dilahirkan, beliau diserahkan oleh ibu bapa kandungnya kepada jabatan kebajikan untuk diberikan kepada sesiapa yang mahu mengambilnya sebagai anak angkat.
Diambil keluarga angkat
Jabatan kebajikan kemudiannya menemui seorang wanita, Jean Lancaster. Jane diberitahu bahawa terdapat seorang bayi yang diabaikan oleh ibu bapanya sendiri yang tidak ada perasaan sayang terhadapnya. Jane kemudiannya berkata, "Bagaimana seseorang itu tidak rasa sayang pada anak sendiri?".
Jane telah diberi peringatan mengenai wajah bayi tersebut, namun sejurus selepas Jane melihatnya, beliau terus mengangkat bayi tersebut dan tersenyum, sambil berkata, "Bila saya boleh bawa dia pulang?".
Bayi tersebut dibawa pulang dan diberi nama Jono. Untuk tempoh 5 tahun, Jane cuba menghubungi ibu bapa kandung Jono, sambil Social Service menghantar laporan perkembangan dan juga gambar-gambar Jono. Namun, ibu bapa Jono menghantar semula surat-surat tersebut tanpa dibuka.
Beliau menceritakan bahawa beliau sangat terdesak untuk mendapat kawan sehingga sanggup berbuat apa saja. Beliau membeli dan memberikan gula-gula kepada kanak-kanak lain supaya mereka menyukainya. Beliau pernah membakar mercun di dalam kelas, hanya kerana mahu orang bercerita mengenai kejadian tersebut, dan bukan mengenai wajahnya.
Sumber : http://iluminasi.com/bm/dibuang-ibu-bapa-kandung-ketika-dilahirkan-kerana-wajah-hodoh-kini-beliau-menyumbang-kepada-masyarakat.html